Wednesday, April 29, 2009

PBPUT - DS Hishamuddin

Salam.

1. Saya menyambut baik pengumuman YAB Perdana Menteri yang juga selaku Presiden UMNO diatas perlantikan DS Hishamuddin Tun Hussein selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu (PBPUT) yang baru setelah kemelut demi kemelut UMNO Terengganu. Saya yakin tindakan Presiden UMNO adalah tindakan yang tepat dan bijaksana bagi memulihkan kemelut kepimpinan UMNO Terengganu kembali pulih. Tetapi, persoalan yang bermain difikiran anggota pucuk pimpinan parti iaitu " Adakah dikalangan pemimpin UMNO Terengganu tidak layak untuk menjawat jawatan tersebut?" tepuk dada, tanya iman. Saya tidak mahu mengulas lebih panjang berkaitan tersebut. Saya menerima pengumuman tersebut dengan hati terbuka dan menghormati keputusan yang dibuat oleh jemaah MT UMNO yang bersidang pada jumaat lepas.

2. Saya secara peribadi berharap, DS Hishamuddin dapat menyegerakan perancangan bagi menyelesaikan kemelut dalaman kepimpinan UMNO Terengganu agar UMNO Terengganu kembali kuat dan bersatu selepas 1 tahun mengalami kemelut yang tidak kesudahan. Walau apa2 pun, setiap anggota kepimpinan UMNO agar bersatu padu demi perpaduan parti. Yang lebih penting, perjuangan parti harus diutamakan lebih daripada kepentingan peribadi masing-masing. Saya juga diajukan soalan berkaitan dengan kepimpinan MB sekarang. Cuma, saya tidak ada idea untuk memberi komen dan berserah kepada penilaian masing-masing. Saya tidak layak untuk memberi komen berkaitan soalan sedemikian.

3. Selain daripada itu, kita semua sedar bahawa kemelut dalaman parti yang menyebabkan Parlimen Kuala Terengganu terlepas kepada PAS pada Jan 2009 yang lalu. Allayarham Dato Razali Ismail telah meletakkan asal yang kukuh sepanjang beliau berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kuala Terengganu. Rata-rata rakyat dikawasan Allahyarham sama ada dari kalangan UMNO mahu pun PAS berpuas hati dengan khidmat Allahyarham. UMNO Terengganu kehilangan permata yang cukup bernilai kepada rakyat mahu pun kepimpinan dalam UMNO. Semoga, akan lahir dari kalangan kepimpinan UMNO sekarang seperti Allahyarham.

4. Kemelut dalaman kepimpinan UMNO Terengganu telah dijadikan modal oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sama ada menggunakan media elektronik seperti blog, laman-laman web dan sebagainya. Selain daripada itu, ceramah demi ceramah dibuat bagi mengelirukan rakyat Terengganu terhadap kemelut ini. Saya ingin tegaskan bahawa, kemelut ini tidak menjejaskan pentadbiran di pejabat-pejabat kerajaan. Kemelut ini adalah kemelut dalaman parti dan tidak melibatkan kepentingan rakyat sejagat. Ibarat pepatah melayu, sedangkan lidah lagi tergigit.

5. Selain daripada itu, pentadbiran kerajaan Terengganu berjalan seperti sedia kala. Tidak ada sebarang masalah. Cuma, saya melahirkan rasa kekesalan dariapda laporan dalam media arus pembangkang yang sering kali mengaitkan kemelut UMNO Terengganu sebagai isu yang besar & perlu dibubarkan dewan undangan negeri.

Thursday, April 23, 2009

4 Bulan Berlalu.

Salam.

Hampir 4 bulan kewujudan blog ini.Saya berterima kasih ke atas semua komen yang negatif dan positif. Sudah lumrah alam, kita tidak mungkin dapat memuaskan hati semua orang. Semuanya saya ambil sebagai panduan dan pedoman di masa akan datang.Ada yang sekadar melayari sekadar hanya membaca dan membuat kesimpulan di meja2 kopi dan pelbagai. Ada yang melayari dan membuat komen kadang-kadang cukup sukar untuk diterima saya sebagai seorang hamba Allah yang kerdil.Namun ini adalah hakikat ahli politik. Rakan baik pun boleh menjadi seteru politik apabila kita tiada kuasa. Kawan yang senang mudah dicari tetapi kawan yang sanggup bersama sama ada ketika susah dan senang amat sukar dicari.

Persidangan yang lepas, beberapa YB dari pembangkang tidak henti-henti mengungkit bekas Menteri Besar Terengganu dan memuji MB yang baru. Inilah sikap dan sifat kepimpinan pembangkang yang suka mengambil kesempatan di atas apa yang berlaku. Kejayaan Terengganu 20004 - 2008 amat sukar diterima oleh pembangkang. Sebabnya 1999 - 2004, Pembangkang pernah mentadbir Terengganu. Namun, sepanjang pemerintahannya tiada apa pembangunan yang dibuat. Apa yang dibuat hanya juara menganjurkan "ceramah politik".Memang mudah untuk kita membuat kesimpulan dan mengkritik sesuatu kejayaan yang dibuat. Kerana mengkritik lebih mudah dari melaksanakan sesuatu pekerjaan apatah lagi mencatat kejayaan. Jika amat mudah mencari kelemahan seseorang oleh kerana tiada manusia yang sempurna.

Orang tidak akan pandang kiranya kejayaan yang kita buat. Malah, kita akan dituduh,dilabel dengan pelbagai tomahan, fitnah, cercaan dengan kejayaan yang dimiliki. Seperti yang kita ketahui, Terengganu berjaya melaksanakan program pintar al-Quran, Pusat Pintar, Taman Tamadun Islam, Menganjurkan Piala Monsun Cup dan banyak lagi pembangunan yang dibuat sehinggakan Terengganu bukan sahaja tersohor di Malaysia malah di peringkat Antarabangsa. Tetapi, malangnya kejayaan yang dicapai dikritik hebat oleh pembangkang. Kalau difikirkan, sepanjang 4 tahun pembangkang mentadbir tiada satu pun program yang dibuat untuk menaikkan nama Terengganu.

Fikir-fikirkanlah...

Wednesday, April 22, 2009

Benar atau Palsu

Salam.

Terima kasih kepada kalian semua yang melayari blog ini. Syukur alhamdulillah berkat izin Allah swt, saya dapat diberi peluang oleh Allah swt untuk menulis dan memberi informasi yang terkini lebih-lebih lagi dengan kemelut yang terbaru melanda kepimpinan UMNO Terengganu dan Pentadbiran Terengganu.

Kita sedia maklum bahawa, ekoran sms ugutan kepada tiga sahabat saya. Kes ini berlarutan satu demi satu. Mungkin, ini adalah hikmat yang sangat besar disebalik ujian Allah swt untuk memperbetulkan keadaan yang sebenar bukan sahaja di peringkat Terengganu malah peringkat tertinggi. Insya-allah, dalam masa terdekat kita sama-samalah berdoa kepada Allah swt agar dipermudahkan segala urusan dan keadaan kembali pulih seperti biasa.

Apa yang ingin saya nyatakan bahawa, rakyat Terengganu samada warga UMNO, pemerhati, orang awam dan lain-lain agar tidak mudah percaya gembar gembur yang dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Kadang-kadang berita yang diulas tidak tepat dan banyak rekaan. Bilamana kita melihat kepada malaysiakini.com, banyak berita kurang tepat dan adanya yang ditokok tambah. Diharapkan, semua usah percaya dengan berita2 yang ingin menaguk di air yang keruh.

MAkluman semua, kepimpinan Terengganu tidak berpecah sepertimana yang dilaporkan oleh laman-laman blog dan pembangkang. Cuma, kita tidak menafikan ada perbezaan pendapat terhadap kemelut yang berlaku.

Sekian.

Saturday, April 18, 2009

Konsep '1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan

Salam.

Isu kepimpinan negeri Terengganu tidak asing lagi menjadi buah mulut setiap warga di mana-mana saja. Di kedai kopi, pasar, di pejabat dan sebagainya. Namun, yang berlaku tetap berlaku. Cuma, apa yang dikesali ianya dimanipulasikan oleh mereka-meraka yang tidak bertanggungjawab untuk kepentingan peribadi dan politik masing-masing. Saya juga tidak terlepas dari menerima komen pujian malah ada juga kritikan daripada penghantar mesej dan melalui blog. Apa yang diharapkan, kepada mereka yang tidak mengetahui perkara yang sebenar agar berdiam diri supaya ianya tidak menjadi berita yang tidak betul dan boleh diistilah sebagai "fitnah".

Saya nafikan bahawa dikalangan kepimpinan UMNO Terengganu berpecah belah. Bilamana melihat kepada krisis selepas pilihanraya umum 12 yang lalu, kami YB bersatu hati untuk menyokong balik mantan Menteri Besar Terengganu dilantik semula untuk menerajui Terengganu. Namun, sedikit masalah teknikal berlaku. Disini jelas menunjukkan bahawa kepimpinan UMNO Terengganu setia kawan dan saling bekerjasama. Yang betul harus disokong yang sebaliknya harus diberi pandangan agar kesalahan dapat diperbetulkan. Inilah prinsip di dalam UMNO sama ada peringkat Tertinggi mahu pun Terengganu.Tiada istilah pecah belah. Saya tertarik dengan slogan YAB Dato Seri Mohd Najid Tun Razak "Konsep '1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan". Inilah visi dan misi kepimpinan UMNO & BN.

Saya berharap kepada rakyat Terengganu sama ada berada di Negeri Terengganu mahu pun yang bertugas di luar Terengganu agar tidak terpengaruh dengan dakyah, khabar angin yang tidak benar sekali berkaitan dengan isu yang hangat dibicarakan ini. Saya ini tegaskan, saya bukan bersifat maksum dan tidak terlepas daripada kesilapan dan kesalahan. Tidak ada manusia di dunia ini yang mempunyai kesempurnaan seperti mana Jujungan Nabi Muhammad SAW.

Saya juga bersetuju dengan YAB Perdana Menteri yang mahukan perubahan dari segi kepimpinan. Mengadakan KPI untuk setiap 6 bulan sekali terhadap Menteri dan Timbalan Menteri. Kita jangan menganggap, jawatan adalah tempat untuk mengumpul harta kekayaan, kenalan untuk berfoya-foya malah ianya adalah amanah yang paling diutamakan oleh setiap ahli YB sama ada BN mahu pun pembangkang.Ingatlah, setiap manusia akan dihisab oleh Allah swt sama ada ianya pemimpin kepada rakyat, pemimpin keluarga dan sebagainya. Sama-sama kita mendukung amanah yang telah diberikan. Insya-allah.

Tuesday, April 14, 2009

SMS Ugutan - Siapa?

Salam

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6).

Terlebih dahulu, saya ingin memaklumkan kepada semua rakyat negeri Terengganu Darul Iman berkaitan dengan satu lagi peristiwa yang tidak disangka-sangka berlaku iaitu SMS ungutan yang diterima oleh sahabat saya dari Dun Ajil, Dun Paka dan Dun Permasuiri selepas tidak sampai sehari pembukaan sidang dewan undangan negeri ke 12 dirasmikan oleh pemangku raja. Ugutan tersebut yang berbunyi " baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?".SMS tersebut gara-gara pihak yang tidak bertanggungjawab yang menfitnah kami dari kalangan YB agar mengusulkan undi tidak percaya terhadap MB. Tuduhan tersebut boleh menyebabkan kepimpinan UMNO Terengganu akan berpecah belah. Saya menafikan sekeras-kerasnya di antara YB BN yang tidak hadir ke sidang dewan pagi tadi akan perancangan untuk mengusulkan undi tidak percaya. Amatlah tidak adil bagi pihak tertentu melabelkan kami seolah-olah untuk menjatuhkan kepimpinan sekarang. Oleh kerana keselamatan kami YB BN terancam, kami bersepakat untuk tidak menghadirkan diri dalam persidangan tersebut.

Saya berharap, rakyat Terengganu agar bertenang dengan insiden yang tidak diingini berlaku. Daripada rentetan tersebut, laporan polis telah dibuat bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.

Monday, April 13, 2009

Perasmian Sidang Dun ke 12

Salam.

Saya mengikuti upacara perasmian sidang dewan undangan negeri ke dua belas bagi penggal pertama yang dirasmikan oleh Pemangku Raja.

Kepada rakyat negeri Terengganu yang tidak berpeluang untuk mengikuti secara langsung di Wisma Darul Iman. Anda boleh layari di alam maya website www.terengganu.gov.my. Sila ikuti arahan selanjutnya.

Sekian, terima kasih.

Friday, April 10, 2009

Jemaah Menteri - Baru

Salam.

Saya mengambil kesempatan untuk mengucap salam tahniah kepada para Menteri dan Timbalan Menteri yang dilantik untuk menganggotai barisan baru jemaah menteri di bawah kepimpinan YAB Dato Seri Mohd Najid B Tun Razak. Jemaah yang baru ini mempunyai kelainan sedikit berbanding sebelum-sebelum ini. Ramai bekas Menteri tidak tersenarai dan ramai muka-muka baru serta ada dikalangan menteri yang dilantik bukan dari kalangan ahli politik. Terengganu mendapat seorang Menteri Penuh iaitu YB Dato Ahmad Shabbery Chek selaku Menteri Belia & Sukan.

Insya-allah, dengan keazaman YAB Perdana Menteri untuk menarik semula kenyakinan rakyat terhadap BN yang tercalar teruk ekoran PRU 12 sehingga berlarutan kepada pilihanraya kecil Pematang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau. Apa yang dapat dirumuskan, rakyat mahu melihat semua YB yang dilantik agar berkhidmat dengan penuh bertanggungjawab, amanah, jujur, ikhlas, berjiwa rakyat, tidak rasuah dan sebagainya. Inilah kriteria yang dapat saya simpulkan. Saya dengan rasa rendah hati akan menyahut dan sentiasa berkorban demi agama, bangsa dan negara. Kepada rakyat di kawasan yang diwakili oleh saya iaitu Dun Tepuh, sekiranya mempunyai masalah, cadangan dan sebagainya salurkan kepada saya. Saya akan cuba selesaikan dengan seberapa mampu yang boleh dengan jawatan dan tanggungjawab yang diberikan ini.

Aku manusia biasa,
Aku adalah hamba kepada rakyat,
Datang ku adalah untuk membantu rakyat,
Mendengar rintihan rakyat,
Menyelesaikan masalah rakyat.

Aku bukan datang untuk mengumpul harta,
Untuk hidup senang dan lenang,
Tanpa hala dan tujuan,
Prinsip & Misi adalah panduan,
Al-Quran & Al-Sunnah sebagai pegagan.

Ayuh,
Marilah bersama-sama dengan ku,
Memajukan bangsa dan negeri ku,
Melebarkan syariat ISlam,
Bertunjangkan Kitabullah & Sunnah.
Islam dijulang, syariat dijuang.

-Muhammad Ramli Hj Nuh-